
KUALA LUMPUR, 23 Mac– Kadar obesiti di Malaysia terus menunjukkan peningkatan membimbangkan apabila data Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) mendedahkan lebih separuh daripada rakyat kini mengalami berat badan berlebihan.
- Kawal pemakanan semasa musim perayaan: sederhana, seimbang, elak makan berulang kali, kurangkan minuman manis.
- Pesakit NCD seperti diabetes, tekanan darah dan kolesterol berisiko lebih tinggi jika gagal kawal nafsu makan; patuhi jadual ubat.
- Jangan ambil sedikit makanan di banyak rumah sehingga jumlah keseluruhan menjadi berlebihan.
- Berjalan kaki 10 hingga 15 minit selepas makan dapat bantu kawal paras gula; perubahan kecil beri impak besar.
Peneraju Kluster Penyelidikan Kesihatan dan Perubatan Termaju Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Poh Bee Koon berkata trend yang meningkat sejak 2011 itu memerlukan perhatian serius, terutamanya ketika musim perayaan.
Beliau menegaskan, meskipun sambutan perayaan penting untuk ikatan sosial, aspek pemakanan harus dikawal ketat bagi mengelakkan risiko kesihatan yang lebih buruk.
“Amalkan pengambilan makanan secara sederhana dan seimbang. Elakkan makan berulang kali sepanjang hari, kurangkan minuman manis, serta pastikan tubuh kekal aktif dengan melakukan pergerakan,” katanya menerusi satu temu bual rakaman video.
Tambah beliau, golongan penghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, darah tinggi, dan kolesterol tinggi berdepan risiko lebih besar jika gagal mengawal nafsu makan ketika beraya.
“Kesilapan paling kerap dilakukan adalah mengambil makanan dalam kuantiti kecil di setiap rumah, namun jumlah keseluruhannya menjadi berlebihan apabila melibatkan banyak lokasi ziarah.
“Selain itu, kegagalan mematuhi jadual ubat serta pengambilan makanan berlemak dan masin secara berlebihan boleh menjejaskan kesihatan secara mendadak,” ujar beliau.
Dr. Poh yang juga Profesor bidang Pemakanan di Pusat Kajian Kesihatan Komuniti (ReaCH) UKM turut menyarankan orang ramai berjalan kaki sekurang-kurangnya 10 hingga 15 minit selepas makan bagi membantu mengawal paras gula dalam badan.
Katanya, perubahan kecil dalam kawalan pemakanan mampu memberi perbezaan besar terhadap tahap kesihatan sepanjang musim perayaan ini.