PUTRAJAYA, 26 Jun- Kadar baharu kenaikan gaji penjawat awam akan diumum sebelum pembentangan Belanjawan 2025, yang dijadual pada Oktober depan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengumuman tersebut bertepatan dengan bebanan kerja, serta ekonomi semasa.
"Saya anggap adil bagi kerajaan, seperti saya sebut semalam, saya seperti bapa dalam kerajaan ini dan kita lihat berapa lama tiada kenaikan gaji penjawat awam.
"...sedangkan kita beri tekanan lebih kuat, kerja mesti kuat pemantauan lebih kuat dan penguatkuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu lebih hebat," katanya ketika berucap dalam Majlis Aspresasi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2023 Jabatan Perdana Menteri di sini.
Pada 1 Mei lepas Anwar mengumumkan penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus, kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara bermula 1 Disember tahun ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menyelar tohmahan yang dilemparkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang terhadapnya berhubung dakwaan anak angkat Amerika Syarikat (AS).
Beliau menegaskan, penting untuk penjawat awam mengambil tahu mengenai isu semasa agar tidak terikut dengan fitnah yang dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab.
"Rakan-rakan dalam penjawat awam perlu ikuti isu ini bukan ceramah politik maki hamun orang dajalkan orang, kafirkan orang seperti mereka lakukan Sungai Bakap.
"...saya dipanggil sebagai anak angkat Amerika Syarikat (AS), Kementerian Kewangan pinjam dari IMF dan saya ikut nasihat yahudi," katanya.