KUALA LUMPUR, 6 Ogos - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan kebimbangan terhadap kadar kemalangan tinggi dalam kalangan pengguna motosikal yang berkait dengan kelemahan penguatkuasaan undang-undang selain isu penyelenggaraan jalan raya.
Menerusi hantaran di laman Facebook, beliau berkata kebimbangan sama turut dizahirkan oleh Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye yang mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri hari ini.
"Antara inti pati pertemuan kami adalah mengenai isu keselamatan jalan raya dan keselamatan di tempat kerja.
"Saya berharap NGO seperti ini dan lain-lain lagi, akan terus memberi khidmat kepada komuniti dalam membina budaya keselamatan yang mampan selain turut memainkan tanggungjawab dalam menyampaikan misi dan hasrat kerajaan khususnya kesedaran tentang Malaysia MADANI," katanya.
Anwar berkata pertubuhan bukan kerajaan yang diterajui Lee, seorang aktivis sosial berpengaruh, berperanan mempromosi kempen kesedaran, keselamatan dan mendidik masyarakat dalam membentuk budaya selamat, sihat serta mewujudkan suasana kerja kondusif.