Kadar keciciran murid sekolah turun kepada 0.29 peratus pada 2025

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 3 Mac – Kadar keciciran murid sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) mencatatkan penurunan kepada 0.29 peratus pada 2025 berbanding 0.31 peratus pada tahun sebelumnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penurunan kadar keciciran kepada 0.29 peratus pada 2025 menunjukkan keberkesanan pemantauan dan intervensi KPM.
  • Pelaksanaan pendidikan wajib hingga sekolah menengah dan sokongan kewangan mengurangkan halangan akses pendidikan.
  • Peningkatan Sistem Pengesanan Murid termasuk integrasi AI untuk intervensi bersasar dan ramalan laluan pendidikan.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata ia menunjukkan keberkesanan langkah pemantauan dan intervensi yang dilaksanakan kementerian bagi menangani isu keciciran dalam kalangan murid.

Ini termasuk langkah memperkenalkan pendidikan wajib sehingga ke peringkat sekolah menengah, satu pendekatan yang berteraskan nilai ihsan dan sebahagian daripada komitmen KPM dalam memastikan akses pendidikan berkualiti dapat dinikmati setiap lapisan masyarakat.

Selain itu, Kementerian berkenaan turut memperkukuhkan strategi dalam aspek sokongan kewangan dan sistem pengesanan murid bagi memastikan faktor kemiskinan tidak menjadi penghalang untuk murid ke sekolah.

“Usaha ini diperkuatkan lagi menerusi program ‘outreach’ murid cicir di sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah dengan komuniti setempat. Pada tahun 2025, sistem pengesanan murid telah ditambahbaik bagi meramal laluan pendidikan dan kerjaya murid bagi golongan berisiko tercicir.

“Keupayaan ramalan ini membolehkan guru kaunseling melaksanakan intervensi bersasar dan cekap berkesan. Pada sesi persekolahan 2026, KPM terus menambahbaik Sistem Pengesanan Murid (SIP) dengan membangunkan model intervensi dengan integrasi AI. Modul tambahan ini akan menganalisis data penting seperti corak kehadiran dan pencapaian akademik,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan ahli Parlimen Kampar Chong Zhemin yang ingin tahu langkah Kementerian Pendidikan dalam menangani masalah keciciran murid sekolah menengah khususnya dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah.

Kementerian Pendidikan yakin kadar keciciran itu dapat terus dikurangkan menerusi usaha berpanjangan termasuk pemantauan berterusan melalui Sistem Pengesanan Murid KPM yang dikemas kini dan ditambah baik dari semasa ke semasa.