PUTRAJAYA, 10 September - Semua kad SIM prabayar bakal diwajibkan didaftarkan menggunakan MyDigital ID menjelang akhir tahun ini, bagi memperkukuh aspek keselamatan, termasuk pengesahan usia pengguna media sosial.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu bertujuan menutup sebarang kelemahan keselamatan yang wujud dalam proses pendaftaran sedia ada.
“Ini akan mula dikuatkuasakan, insyaAllah, pada hujung tahun ini. Pihak MCMC akan susuli dengan maklumat yang lebih terperinci.
“Ini hasil daripada keputusan mesyuarat MED4IR semalam. Dijangka hujung tahun, mungkin November atau Disember, pendaftaran itu menggunakan MyDigital ID, maka ada beberapa aspek keselamatan yang akan lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan di Kementerian Komunikasi, Putrajaya.
Menurut Datuk Fahmi, mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (MED4IR) semalam turut membincangkan perkara tersebut, dan syarikat telekomunikasi akan diarahkan memastikan proses pendaftaran dilaksanakan dengan teratur.