fb fb fb fb fb

Jurubahasa isyarat ‘warnai’ sidang media mingguan Kementerian Komunikasi

Jurubahasa isyarat, Goh Soo Leng menyertai sidang media disampaikan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini

PUTRAJAYA, 18 Jun- Sidang media mingguan Kementerian Komunikasi hari ini mencipta sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya menampilkan jurubahasa isyarat secara langsung menerusi kerjasama dengan Persatuan Jurubahasa Isyarat Malaysia (MyAsli).

Jurubahasa isyarat berkenaan, Goh Soo Leng yang juga Timbalan Presiden MyAsli, menyertai sidang media disampaikan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Menurut Datuk Fahmi, langkah itu sebahagian daripada usaha untuk memperkasa keterangkuman maklumat kepada komuniti orang pekak di negara ini.

“Saya telah mengadakan pertemuan semalam membincangkan beberapa perkara untuk membantu Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD). Kita juga sangat berbangga kerana baru-baru ini salah seorang daripada jurubahasa isyarat telah menerima anugerah daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Jadi insya-Allah saya akan berusaha untuk pastikan bukan hanya dengan Kementerian Komunikasi sewaktu sidang media, tapi juga dalam sidang Parlimen akan datang dan beberapa aspek lain, keterlibatan rakan-rakan jurubahasa isyarat akan kita ketengahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mingguan Kementerian Komunikasi di Putrajaya, hari ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE