fb fb fb fb fb

Jumlah penduduk terjejas banjir di Kelantan, Terengganu, Selangor meningkat malam ini

Ketua Polis Terengganu (tiga, kanan) bersama pegawainya meninjau beberapa kawasan banjir selepas kawasan berkenaan dinaiki air ketika tinjauan di Kampung Menerong hari ini/FOTO BERNAMA

KUALA KRAI, 14 Disember - Jumlah penduduk dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) meningkat kepada 1011 orang menjelang tengah malam.

 
Setakat 10 malam tadi, Laman Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan kesemua mereka yang terdiri daripada 278 keluarga itu kini berlindung di 16 PPS di Kuala Krai dan Tanah Merah.

Paling ramai di daerah Kuala Krai melibatkan hampir 800 penduduk manakala selebihnya di Tanah Merah.
 
Penduduk terpaksa berpindah kerana paras air di kawasan kediaman mereka naik mendadak sejak awal pagi tadi.

Sementara itu di TERENGGANU, setakat 11 malam tadi, dua lagi PPS dibuka di daerah Hulu Terengganu iaitu di Kampung Pengkalan Ajal dan Pelandan.

Ini sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 427 orang.

Setiu pula daerah terbaru terjejas banjir apabila satu PPS dibuka Iaitu di Kampung Besut yang menjadi tempat berlindung lima penduduk terjejas.

Sekretartiat Jawatankuasa Pengurusan bencana negeri memaklumkan keseluruhan 137 Keluarga berlindung di tujuh PPS.

Paling ramai penduduk terjejas direkodkan berada di PPS PPSK FELCRA Gunung Menerong iaitu 132 orang.

Di SELANGOR, 105 individu daripada 34 keluarga berlindung di dua PPS setakat 9 malam ini, meningkat berbanding 99 orang daripada 33 keluarga petang tadi.

Kesemua penduduk terjejas berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan Jaya Setia dan Balai Raya Kampung Parit Mahang di daerah Kuala Selangor, yang mula dibuka semalam.

GRACE AISYAH KEDAYAN