JOHOR BAHRU 17 Januari - Jumlah penduduk terjejas banjir yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Segamat kekal 74 orang daripada 22 keluarga setakat pukul 8 pagi.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R. Vidyananthan berkata, satu PPS iaitu Sekolah Agama Gemereh yang dibuka sejak 9 Januari lepas masih beroperasi melibatkan penduduk terjejas dari Kampung Gemereh akibat banjir termenung.
Beliau berkata cuaca di sembilan daerah yang lain dilaporkan cerah, manakala Mersing mendung ketika ini.
"Bagaimanapun, penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Bekok, Empangan Bekok di Batu Pahat dinasihatkan agar berjaga-jaga memandangkan sungai tersebut kekal pada tahap waspada dengan bacaan 16.36 meter," katanya dalam kenyataan hari ini.
Segamat merupakan daerah terawal terjejas dengan kejadian banjir tahun ini yang mencatatkan penerimaan hujan paling banyak di Johor berdasarkan bacaan taburan hujan yang direkodkan oleh stesen pencerapan bagi tempoh 26 Disember hingga 1 Januari lepas.- BERNAMA