KUALA TERENGGANU, 28 Jun- Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) sempena Karnival Sunnah Zon Timur anjuran RTM memberi kelegaan besar kepada penduduk setempat.
Para pengunjung mula membanjiri tapak jualan seawal pukul 7.30 pagi untuk mendapatkan barangan keperluan harian yang ditawarkan pada harga sehingga 30 peratus lebih murah daripada pasaran biasa.
Rata-rata orang ramai yang ditemui menyambut baik penganjuran program itu yang bukan sahaja membantu isi rumah berjimat, malah memberi peluang kepada peniaga kecil berniaga dalam suasana lebih terkawal dan mesra pengguna.
"Bagi saya, Jualan Rahmah ini memang patut diteruskan kerana ia sangat membantu peniaga kecil dan pada masa sama harga yang ditawarkan memang berpatutan," kata Rosilawati, salah seorang pengunjung.
Norizah Irdina Ahmad pula berkata sambutan luar biasa menunjukkan program seperti ini wajar dijadikan acara tahunan:
"Memang patut wajib buat setiap tahun sebab sambutan memang luar biasa."
Bagi Kamal Amir, inisiatif seumpama ini wajar diperluas kerana memberi impak langsung kepada golongan rakyat:
"Jualan seperti ini memang beri kesan yang besar kepada rakyat, jadi saya sokong ia diteruskan."
Sehingga kini, PJRM telah memberi manfaat kepada lebih 507,000 pengunjung di seluruh negara, dengan jumlah hasil jualan melebihi RM22.3 juta.