fb fb fb fb fb

100 Tahun KOSWIP: Simbol kejayaan dan keteguhan koperasi tempatan

Pengerusi KOSWIP, Datuk Khairul Walid Mohamed

KUALA LUMPUR, 28 Jun - Koperasi KOSWIP Malaysia Berhad (KOSWIP) hari ini meraikan ulang tahun ke-100 penubuhannya melalui Mesyuarat Agung Tahunan ke-100 yang turut menyaksikan pemilihan Ahli Lembaga Koperasi yang baharu.

Menurut Pengerusi KOSWIP, Datuk Khairul Walid Mohamed, mesyuarat tahunan ini bukan sahaja signifikan sebagai acara rasmi koperasi, malah menjadi simbol pencapaian bersejarah KOSWIP dalam tempoh satu abad.

“Hari ini merupakan Mesyuarat Agung Tahunan KOSWIP kali ke-100. Ini satu kebanggaan buat kami. Seperti biasa, akan ada kekosongan dalam barisan lembaga dan Alhamdulillah, seramai 12 calon bertanding untuk mengisi kekosongan tersebut. Saya berharap semuanya berjalan harmoni,” jelasnya kepada media di sini, hari ini.

Selain itu, KOSWIP yang berpusat di Selangor merupakan salah satu koperasi yang berjaya kekal kukuh dan beroperasi selama 100 tahun, sesuatu yang jarang dicapai oleh koperasi lain.

“Hanya beberapa koperasi sahaja mampu bertahan sehingga ke tahap ini. Saya menyeru agar semua anggota terus bersatu hati demi mengekalkan KOSWIP sebagai koperasi nombor satu di Selangor dan seterusnya berada dalam kelompok 10 terbaik di Malaysia, insya-Allah,” tambah Khairul semasa ditemui semasa mesyuarat.

Sambutan kali ini juga turut memperkukuh tekad KOSWIP untuk terus menjaga kebajikan dan membantu meningkatkan ekonomi ahlinya menjelang abad kedua penubuhannya.

Terdahulu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad turut menegaskan, kekuatan kewangan dan jumlah keahlian yang besar dalam KOSWIP harus dimanfaatkan sepenuhnya bagi menyahut seruan kerajaan ke arah pembangunan negara berkemahiran tinggi serta memperluas aktiviti ekonomi koperasi.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE