KANGAR, 21 September - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Perlis menganjurkan Jualan Agro MADANI sempena Sambutan Jubli Intan Ulang Tahun FAMA Ke-60 di Pasar Tani Masjid Al-Istiqamah, Teluk Jambu.
Program berkenaan dilaksanakan sebagai tanda penghargaan kepada masyarakat Perlis yang sentiasa menyokong inisiatif FAMA. Ia juga merupakan sinergi kerjasama antara FAMA, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan Lembaga Tabung Haji Negeri Perlis.
Pengarah FAMA Negeri Perlis, Mohd Anzara Azizan, berkata pihaknya komited memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat melalui Jualan Agro MADANI yang telah diadakan sebanyak 161 kali sejak Januari lalu dengan nilai jualan mencecah RM1.98 juta.
“Melalui penganjuran ini, seramai 250 usahawan terlibat dengan nilai penjimatan kepada pengguna sehingga RM650,000,” katanya.
Majlis perasmian disempurnakan secara bersama oleh Pengarah JAIPs, Maizura Shamsuddin, dan Pengarah Tabung Haji Negeri Perlis, Burhan Abd Rahman.
Antara aktiviti menarik yang diadakan termasuk Jualan Agro MADANI menawarkan kombo MADANI, ayam segar, daging, hasil laut, sayur-sayuran dan buah-buahan pada harga berpatutan.
Selain itu, turut diadakan pembukaan kaunter khidmat Tabung Haji, pertandingan makan buah-buahan, permainan dam ular, serta pemeriksaan kesihatan asas secara percuma untuk pengunjung.