ISKANDAR PUTERI, 27 Mac – Kerajaan Johor menegaskan bahawa semua pemaju, termasuk yang beroperasi dalam Zon Ekonomi Khas Johor – Singapura (JS-SEZ), tidak akan terlepas daripada tanggungjawab membina Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ).
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata bahawa sejak tahun 2022 hingga kini, pihaknya berjaya memastikan pemaju komited membina sebanyak 20,714 unit RMMJ, melibatkan 146 projek di seluruh negeri.
Beliau menjelaskan bahawa komitmen ini dicapai menerusi 28 mesyuarat Jawatankuasa Perancangan, Pembangunan, dan Rekabentuk (PDRC) yang diadakan bersama pemaju.
“Mesyuarat ini telah melibatkan 114 pemaju bagi projek RMMJ di sepuluh daerah di Johor, melibatkan 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), 26 kawasan Parlimen, dan 50 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri telah menetapkan sasaran 8,000 unit RMMJ untuk dibina sepanjang tahun ini bagi memastikan rakyat Johor, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, mempunyai akses kepada kediaman yang mampu dimiliki.