SERI KEMBANGAN, 18 Oktober- Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor telah diperuntukkan RM8 juta daripada Kerajaan Persekutuan dan RM6.7 juta daripada kerajaan negeri untuk digunakan bagi kerja-kerja kecemasan menghadapi Monsun Timur Laut.
Jelas Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad, sebanyak 58 kerja-kerja kecemasan di luar jangka yang melibatkan pelbagai daerah di sekitar Selangor telah dilaksanakan dengan peruntukan tersebut.
"Ada 58 kerja-kerja kecemasan luar jangka di pelbagai daerah dan 51 daripadanya menggunakan peruntukan persekutuan manakala tujuh lagi menggunakan peruntukan negeri.
"27 sudah siap, 15 masih dalam pembinaan, dan 16 dalam proses perolehan dan kita cuba segerakan perkara tersebut sebab musim hujan sudah bermula," ketika membuat tinjauan Projek Kecemasan Banjir di Jalan SK9 Seri Kembangan di sini.
Nik Nazmi berkata seramai 190,000 penduduk sekitar Selangor dijangkakan akan mendapat manfaat daripada pelaksanaan inisiatif ini.
(Nik Nazmi Nik Ahmad)