fb fb fb fb fb

JPJ Terengganu perkasa Op Covert sempena Aidiladha

JPJ Terengganu perkasa Op Covert sempena Aidiladha / Foto Bernama

KUALA TERENGGANU, 7 Jun – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu akan terus memperkasakan pelaksanaan Op Covert menggunakan kamera serta pelaksanaan penguatkuasaan Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 sepanjang Op Hari Raya Aidiladha (HRAA) yang berlangsung dari 4 hingga 10 Jun ini.

Pengarah JPJ Terengganu, Zamri Samion berkata Op Covert atau operasi secara penyamaran itu akan dijalankan di laluan persekutuan dan bandar bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang.

Menurutnya, antara kesalahan utama yang dikesan ialah pelanggaran lampu isyarat merah dan tidak memakai topi keledar, terutamanya melibatkan penunggang motosikal.

“Jadi dalam hal ini kita akan ambil tindakan tegas. Selain pendekatan taktikal Covert, kita turut menjalankan penyamaran melalui bas ekspres, pemantauan di terminal bas, rondaan serta tindakan segera (snapchat) di lokasi,” katanya.

Zamri berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan di Plaza Tol Kuala Terengganu dekat Bukit Gemuruh, pada Jumaat.

Tambah Zamri, tindakan setempat akan diambil terhadap mana-mana pengguna jalan raya yang dikesan melakukan kesalahan seperti melanggar garisan berkembar atau memotong barisan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan seramai 110 anggota JPJ dengan kekuatan 27 pasukan telah ditugaskan bagi menjayakan operasi selama enam hari itu.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN