fb fb fb fb fb

JPJ Pulau Pinang perkenal EAC pantau kesalahan trafik

Pengarah JPJ Negeri Pulau Pinang, Zulkifli Ismail / Foto RTM

BUKIT MERTAJAM, 27 Mac – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang akan melaksanakan Penguatkuasaan Tanpa Sentuh atau Enforcement Action Camera (EAC) sempena Aidilfitri tahun ini.

Pelaksanaan EAC membolehkan JPJ mengesan kesalahan trafik dengan lebih pantas serta efisien.

Pengarah JPJ Negeri Pulau Pinang, Zulkifli Ismail, berkata penggunaan kamera itu diletakkan di bawah Unit Penguatkuasaan Bermotosikal (UPB), yang kini dikenali sebagai Unit Falcon.

Selain memberi tumpuan kepada empat lokasi blackspot di negeri ini, penguatkuasaan turut melibatkan kesemua lima daerah, antaranya Seberang Perai Utara di laluan Jalan Butterworth – Sungai Dua – Sungai Petani dan Seberang Perai Tengah di laluan Jalan Baru Perai – Bukit Mertajam – Jalan Perai – Seberang Jaya

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Ops Bersepadu HRA bersama agensi penguat kuasa di Plaza Tol Juru Arah Utara, Juru.

Operasi yang berlangsung dari pukul 8.30 hingga 11.30 malam semalam (Rabu) membabitkan 43 anggota. Sebanyak 603 kenderaan telah diperiksa, dengan 64 kenderaan diambil tindakan.

Sebanyak 93 notis turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, manakala sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu warga asing telah disita.

Operasi berkenaan  turut mendapat kerjasama strategik daripada beberapa agensi penguatkuasaan negeri, termasuk Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Sementara itu, dalam operasi terbabit, ujian saringan air kencing oleh AADK mendapati seorang pemandu lori kontena warga tempatan berusia 45 tahun positif dadah. Lelaki itu diserahkan kepada AADK untuk siasatan lanjut.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD