fb fb fb fb fb

JPJ Perak kutip lebih RM800,000 hasil lelongan kenderaan sita 2023

FOTO FAIL

IPOH, 31 Oktober - Sebanyak RM858,470 diperolehi hasil jualan kenderaan lelong yang dilakukan dalam dua siri lelongan tahun ini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak Mohammad Yusoff Abustan berkata, ia melibatkan 118 kenderaan yang dilucut hak termasuk kereta, motosikal dan sebagainya dalam sesi lelongan yang dilakukan di negeri itu.

"Kenderaan yang mendapat hasil lelongan tertinggi hari ini adalah kenderaan Mitsubishi Pajero yang berjaya dilelong dengan harga RM24,000.

"Manakala motosikal jenis Suzuki RC110S menerima hasil nilai bidaan terendah pada harga RM270,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat sesi lelongan di sini.

Mohammad Yusoff berkata lelongan awam kali ini dimulakan dengan harga tawaran terendah iaitu RM100 bagi sebuah motosikal Modenas CT100 tahun 2013 manakala harga tawaran tertinggi adalah bagi kereta Honda Integra tahun 2005 iaitu bidaan permulaan sebanyak RM17,700.

Katanya semua kenderaan yang dilelong telah disita atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pembida yang hadir perlu membeli dokumen lelongan awam berharga RM70 yang dibuka jualannya selama lima hari bermula dari 23 hingga 27 Oktober lepas.

Seramai 100 pembida hadir pada hari ini dan mereka yang berjaya membida kenderaan hendaklah menyelesaikan urusan pertukaran hak milik kenderaan dalam tempoh tujuh hari.

TETITIA YUSOFF