SUNGAI PETANI , 5 Disember- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah mengadakan advokasi terhadap penunggang p-hailing sekitar Central Square, ke arah mendidik masyarakat untuk mengutamakan keselamatan.
Program advokasi p-hailing yang dijalankan adalah bertujuan untuk menyampaikan maklumat serta pesanan berhubung kepentingan keselamatan jalan raya.
Ketua Unit Advokasi, Unit Keselamatan Jalan Raya dan Korporat JPJ Negeri Kedah, Yaseri Jusoh menyampaikan peringatan mengenai langkah-langkah keselamatan ketika menunggang, dalam usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negeri itu.
Tambah Yaseri, kaedah penyampaian taklimat berkelompok digunakan dalam advokasi itu selain mengedarkan saguhati berbentuk bahan kempen dan risalah.
Aktiviti tersebut membantu para penunggang mengingat kembali peraturan dan undang-undang yang ditetapkan dan tidak membahayakan nyawa mereka demi melunaskan penghantaran.