fb fb fb fb fb

JPJ berwajah baharu, tingkat aspek perkhidmatan pelanggan

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 2 Januari- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tampil dengan wajah dan konsep baharu, sempena dengan tahun baharu 2025.

Pembaharuan itu menumpukan penyampaian perkhidmatan pelanggan yang lebih cekap, sistematik dan berkualiti.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata pendekatan baharu itu akan dilaksana secara berperingkat, bermula di pejabat baharu, JPJ Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Jelasnya, konsep itu merupakan pendekatan baharu JPJ ke arah meningkatkan kepuasan pelanggan menerusi pelbagai penambahbaikan dan penaiktarafan.

Ini termasuk pelaksanaan beberapa inisiatif baharu seperti penambahan komponen pembayaran saman melalui aplikasi MyJPJ selain memperbaharui lesen dan cukai jalan.

"Pejabat JPJ Putrajaya yang baharu ini akan membawa satu wajah dan pendekatan baharu dalam perkhidmatan kaunter JPJ. Secara berfasa, pejabat-pejabat JPJ di seluruh negara juga akan ditambah baik menggunakan konsep baharu seperti ini iaitu lebih mesra pelanggan.

Konsepnya seperti bank ataupun syarikat telekomunikasi. Ada pegawai, ada kakitangan yang membantu mereka, ada kiosk dan juga ada tempat untuk mereka buat secara layan diri. Kita akan sediakan peranti elektronik dan sebagainya untuk mereka buat sendiri," kata Anthony kepada pemberita dalam sidang media, di sini, hari ini.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM