fb fb fb fb fb

JPBN Perlis tubuh PPS alternatif menjelang PRU-15

KANGAR, 20 Oktober- Pusat Pemindahan Sementara (PPS) alternatif untuk mangsa banjir akan dibuka Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perlis sekiranya PPS sedia ada terpaksa digunakan sebagai pusat pengundian menjelang PRU-15.

Di Perlis, 102 daripada 120 PPS sedia ada di negeri itu merupakan sekolah yang mungkin terlibat sebagai pusat pengundian.

Menurut Pengerusi JPBN Perlis Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, penyelarasan akan dijalankan pihaknya bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menentukan lokasi yang diperlukan untuk pusat mengundi dan PPS alternatif.

"Tidak semestinya kita katakan bahawa ia ditutup sebagai PPS, tapi sekiranya berlaku pertembungan, antara hari mengundi dan keperluan untuk memindahkan mangsa banjir, maka kita menyediakan alternatif kepada PPS itu, mungkin PPS yang terdekat dan sebagainya atau dewan orang ramai yang tidak digunakan untuk tujuan mengundi ataupun balai raya yang tidak digunakan untuk tujuan mengundi akan digunakan sebagai PPS," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mensyuarat JPBN Perlis di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

Pengerusi JPBN Perlis Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad / FOTO BERNAMA

Sehingga kini pihaknya turut memantau 20 kawasan yang sering mengalami bencana banjir termasuk banjir kilat apabila berlaku hujan.

Antaranya Taman Kemajuan dan Taman Guru Jaya, manakala di Padang Besar ialah Kampung Titi Tinggi, Felcra Lubuk Sireh dan di Arau; Ulu Pauh, Kampung Titi Besi dan Pekan Arau.

Media Baharu