fb fb fb fb fb

19 November 2022, hari mengundi PRU ke-15

PUTRAJAYA, 20 Oktober - Hasil mesyuarat khas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini, menetapkan 19 November ini sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) serentak dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N66 Bugaya, Sabah.

Menurut Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh, tarikh penamaan calon akan diadakan pada 5 November 2022 dan pengundian awal pada 15 November 2022.


(Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh semasa dalam sidang media 
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini)

"Bagi mengisi kekosongan sebanyak 222 kerusi dewan rakyat, serta 42 kerusi dewan negeri Pahang, 15 kerusi dewan negeri Perlis, dan 59 kerusi dewan negeri Perak. Pada masa yang sama, PRK Dun N66 Bugaya, Sabah juga diadakan serentak bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut," katanya pada Sidang Media hari ini di sini.

Tarikh keluar writ hari ini, 20 Oktober manakala urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara telah dibuka bermula daripada 10 Oktober 2022 untuk PRU15 dan dari 13 Oktober 2022 untuk PRK DUN N66 Bugaya, Sabah.

Pada PRU ke-15 ini, buat pertama kali, warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas dibenarkan mengundi.

Pendaftaran secara automatik sudah diwartakan dan telah berkuat kuasa pada 15 Disember tahun lalu. Pewartaan itu dimaklumkan menerusi Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 1 Disember 2021.

Tidak seperti kebiasaan, PRU kali ini hanya menyaksikan tiga negeri iaitu Perak, Pahang dan Perlis yang telah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing mengadakan pilihan raya Umum Dewan Undangan Negeri serentak dengan PRU ke-15.

Negeri bawah pentadbiran PAS iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak membubarkan DUN masing-masing, begitu juga bawah Pakatan Harapan (PH) iaitu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Manakala Johor, Melaka, Sabah dan Sarawak tidak membubarkan DUN kerana belum mencapai tempoh matang.

Setakat ini, belum ada pengesahan jelas parti-parti utama akan bergabung bawah satu pakatan.

Media Baharu