fb fb fb fb fb

JomLaunch Youth 2022 berjaya tarik lebih 1,000 belia

KUALA LUMPUR, 22 Oktober- Inisiatif JomLaunch Youth 2022 berjaya menarik pendaftaran lebih 1,000 belia berusia 18 hingga 30 tahun bagi menimba ilmu dan meningkatkan kemahiran teknologi melalui kursus percuma yang disediakan. 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi  Datuk Seri Dr Adham Baba dalam kenyataannya berkata inisiatif yang dilancarkan pada Jun lepas itu, adalah sebahagian daripada usaha untuk merakyatkan sains, menginsankan teknologi dan memperkasa agenda sains, teknologi dan inovasi (STI) negara.


(Ketua Setiausaha MOSTI Datuk Dr Aminuddin Hassim / Foto FB MOSTI)

“Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berharap pada akhir program itu, ia berjaya mengumpulkan idea STI yang berpotensi untuk dikomersialkan di bawah payung Malaysia Techlympics,” katanya yang turut memaklumkan majlis penutup JomLaunch Youth 2022 berlangsung pada hari ini.

Menurutnya tujuan inisiatif itu adalah untuk menyediakan platform dan peluang kepada belia Malaysia mendalami bidang teknologi tinggi melalui tiga pilihan modul pembelajaran iaitu Internet Benda (IoT), Pembangunan Aplikasi Telefon Pintar dan Pembangunan Aplikasi Web yang dilaksanakan secara percuma.

Sementara itu, Ketua Setiausaha MOSTI Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata JomLaunch Youth 2022 berjaya menarik penyertaan daripada lebih 50 institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

“Tenaga pengajar berpengalaman menjadi mentor kepada peserta dengan mengadakan beberapa sesi webinar sepanjang lima bulan program berlangsung. Ia bagi membolehkan peserta berinteraksi secara terus dengan tenaga pengajar dan mendapatkan bantuan serta nasihat yang diperlukan,” katanya.

Menurut MOSTI inisiatif itu mampu meningkatkan kebolehan dan kesediaan tenaga kerja mahir dalam bidang teknologi tinggi seterusnya memangkin pertumbuhan ekonomi baharu, penerimagunaan teknologi termaju, membina bakat pembuat perubahan dan menyokong transformasi negara.

Kenyataan itu turut memaklumkan Malaysia Techlympics yang merupakan salah satu inisiatif MOSTI yang dilaksanakan oleh Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI) telah menjalin kerjasama dengan JomWeb selaku rakan korporat bagi menjayakan program JomLaunch Youth 2022.


 

Media Baharu