fb fb fb fb fb

Johor syor agih minyak masak bersubsidi terus kepada asnaf

(Mohd Fared Mohd Khalid)

JOHOR BAHRU, 17 Julai- Johor mencadangkan kepada kerajaan Persekutuan supaya bekalan minyak masak bersubsidi disalurkan terus kepada golongan asnaf di setiap negeri.

Cadangan diusulkan bagi mengelakkan penyelewengan di peringkat pemborong selain mengurangkan beban asnaf dalam keadaan inflasi.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata pembahagian minyak masak bersubsidi perlu diberi terus kepada golongan sasaran.

Justeru, Majlis Agama Johor Islam Negeri Johor (MAINJ) diminta mengadakan perbincangan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi menjadi pengantara menyimpan dan mengedar barangan tersebut.

"Sebab kami difahamkan oleh pihak kerajaan sendiri, kerajaan pusat pengagihan ini macam ada masalah, jadi kalau orang miskin tidak dapat minyak subsidi, biarlah kami yang jaga orang miskin ini, fakir miskin, kamilah yang tolong agih.

"Kalau jabatan kerajaan yang agihkan saya percaya tidak akan ada penyelewengan," katanya.

(Mohd Fared (dua dari kiri) pada Program Johor Bersih Peringkat
Mukim Daerah Batu Pahat di Kampung Bintang, Peserai)

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Program Johor Bersih Peringkat Mukim Daerah Batu Pahat di Kampung Bintang, Peserai, di sini hari ini.

Tambah Mohd Fared, asnaf tetap perlu membeli minyak masak dengan harga subsidi daripada MAINJ dan diedarkan terus dari rumah ke rumah.

Oleh itu, beliau berharap kerajaan persekutuan dapat mempertimbangkan cadangan tersebut bagi menangani isu keperluan rakyat.

Media Baharu