fb fb fb fb fb

Johor sasar projek baik pulih 88 sekolah agama siap akhir tahun ini

Mohd Fared Mohd Khalid ditemui selepas Program Penyerahan Bantuan Amal Jariah Perbadanan Islam Johor, PIJ di Johor Bahru

JOHOR BAHRU, 11 Jun- Kerajaan Johor akan memastikan projek baik pulih 88 buah sekolah agama kerajaan di seluruh negeri diselesaikan menjelang akhir tahun ini, melibatkan peruntukan keseluruhan RM12 juta.
 
EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Mohd Fared Mohd Khalid menegaskan, projek berkenaan tidak boleh ditangguh berikutan keadaan sekolah agama kerajaan Johor tersebut uzur serta tidak selamat.
 
Antara kerosakan fasiliti yang dikenal pasti adalah seperti bumbung serta bilik guru dengan kebanyakan sekolah terletak di kawasan luar bandar.
 
"Jabatan Agama Islam telah mendokumentasikan sejak tahun lepas dan kita sedikit tertangguh sebab faktor kewangan.

"Kini, dana kewangan telah selesai dan Perbadanan Islam Johor, PIJ sendiri pun telah salurkan dan yang penting sekolah dan jenis kerosakannya juga telah dikenal pasti, hanya tinggal duit masuk dilaksana nanti,"katanya.
 
Beliau ditemui selepas Program Penyerahan Bantuan Amal Jariah Perbadanan Islam Johor, PIJ di Johor Bahru.
 
PIJ turut menyumbang RM2 juta kepada Akaun Lembaga Wang Amanah Orang-orang Islam bagi tujuan baik pulih 88 sekolah agama kerajaan johor yang akan dikendalikan Jabatan Agama Islam negeri.
 
Selain itu, PIJ memperuntukkan RM200,000 bagi pemberian tv pintar atau Smart TV kepada 160 sekolah serta 10 unit eBrelle kepada dua buah sekolah.
 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE