fb fb fb fb fb

Hampir 130,000 pesawah terima bantuan tunai insentif pembajakan, penuaian

Foto hiasan

PUTRAJAYA, 11 Jun- Hampir 130,000 pesawah di Semenanjung Malaysia akan menerima bantuan tunai berjumlah RM210 per hektar per musim menerusi kenaikan kadar insentif pembajakan serta pengenalan insentif penuaian.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan berkata, pada 27 Mei lepas kementerian itu telah menaikkan kadar insentif pembajakan dan memperkenalkan insentif penuaian.

"KPKM mengambil langkah menambah baik kadar sedia ada bagi insentif pembajakan iaitu daripada RM100 per hektar per musim kepada RM160 per hektar per musim manakala insentif penuaian pula pada kadar RM50 per hektar per musim," katanya.

Pada 27 Mei lepas juga KPKM memaklumkan bahawa subsidi diesel kepada nelayan dikekalkan.

Sebelum ini Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan pelaksanaan Program Bantuan Subsidi MADANI (BUDI MADANI) termasuk kategori BUDI Agri-Komoditi kepada petani, penternak dan pengusaha akuakultur yang berkelayakan.

Harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter bermula 10 Jun iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI