fb fb fb fb fb

HRD Corp meterai kerjasama dengan kolej di Jepun dalam latihan penjagaan warga emas

FOTO HRD Corp

KUALA LUMPUR, 11 Jun- Human Resource Development Corporation (HRD Corp) menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) dengan Shuto Iko College of Medical Care & Welfare semasa lawatan lima hari delegasi yang diketuai Menteri Sumber Manusia Steven Sim ke Jepun baru-baru ini.

Shuto Iko College of Medical Care & Welfare merupakan satu daripada sembilan fakulti bawah Yayasan Pendidikan Jepun yang menumpukan kepada latihan penjagaan, melalui kursus pensijilan profesional menggunakan teknologi terkini.

HRD Corp menerusi satu kenyataan memaklumkan kerjasama itu akan membolehkan pihaknya menawarkan kursus pensijilan profesional penjagaan warga emas kepada rakyat Malaysia, selain mendapatkan teknologi latihan dan pensijilan penjagaan warga emas dari negara itu.

Jelas kenyataan itu, kerjasama berkenaan turut membantu HRD Corp mengenal pasti dan melengkapkan jurulatih serta penyedia latihan Malaysia untuk membolehkan mereka menawarkan kurikulum dan program pensijilan Shuto Iko pada masa hadapan.

Sementara itu Steven Sim dalam kenyataan sama berkata kerjasama itu melengkapi usaha kerajaan untuk melabur serta mengawal selia ekonomi penjagaan, memandangkan potensinya untuk menyumbang antara 10 peratus dan 39 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) sesebuah negara.

“MoU ini akan mengiktiraf pekerjaan itu sebagai kerjaya formal yang memberi manfaat kepada masyarakat dan ekonomi kita, saya berharap rakyat Malaysia akan meneroka peluang pekerjaan profesional dalam sektor ini,” katanya.

Manakala Ketua Eksekutif HRD Corp Datuk Shahul Dawood berkata agensi bawah kementerian itu berbesar hati untuk terus memperluas tawaran kepada semua rakyat Malaysia melalui perkongsian dengan Shuto Iko College of Medical Care & Welfare.

“Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), sektor penjagaan sedang berkembang di semua rantau dan dijangka mencipta lebih banyak pekerjaan pada tahun-tahun akan datang," katanya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE