fb fb fb fb fb

Dua maut keracunan selepas makan makanan dibawa dari sekolah

KUALA LUMPUR, 11 Jun– Seorang remaja lelaki dan seorang bayi perempuan meninggal dunia selepas disyaki makan makanan tercemar yang dibawa dari sebuah sekolah.

Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner (ACP) Noor Ariffin Mohamad Nasir menerusi satu kenyataan, berdasarkan siasatan dijalankan dalam kes pertama mangsa merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 17 tahun.

"Pada 8 Jun mangsa telah makan makanan yang dibawa balik oleh ibunya selepas menghadiri satu program di sebuah sekolah. Selepas memakan makanan tersebut, mangsa, ibu dan bapanya telah mengalami cirit birit," menurut kenyataan itu.

Menurut polis pada 10 Jun kira-kira pukul 1.30 petang mangsa tidak sedarkan diri dan bapa mangsa telah menghubungi pihak MERS 999 untuk mendapatkan bantuan.

Selepas itu mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lumpur.

Dalam kes kedua pula mangsa merupakan seorang bayi perempuan warga tempatan berumur dua tahun.

"Pada 8 Jun bapa mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah telah membawa balik makanan selepas selesai program di sekolah tersebut dan ada memberi mangsa makan makanan tersebut.

"Pada 10 Jun lebih kurang pukul 10.45 pagi ibu mangsa mendapati mangsa demam, muntah-muntah dan cirit birit. ibu mangsa telah membawa mangsa ke Hospital Selayang," menurut kenyataan sama.

Mangsa disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan oleh Pegawai Perubatan Hospital Selayang.

Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke forensik hospital selayang untuk tindakan lanjut. Polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.

Kedua-dua laporan kematian disyaki akibat keracunan makanan itu diterima Polis IPD Gombak pada Isnin 10 Jun.

Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dan boleh menghubungi Ketua Polis Balai Gombak, Inspektor Heirme Che Mad di talian 014-2389151 atau Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Khalpna Rajandhiran di talian 012-5018901 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI