fb fb fb fb fb

Kewujudan berek di balai polis seluruh Kelantan, bantu tingkat kawalan keselamatan

Foto hiasan

KOTA BHARU, 11 Jun- Kewujudan berek kediaman di balai-balai polis seluruh Kelantan akan dimanafaatkan sebaiknya bagi membantu meningkatkan tahap kawalan keselamatan khususnya melibatkan kawasan yang agak terpencil dan sukar dihubungi kata Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun.

Perkara itu antara yang akan dibangkitkan pada pertemuan bersama-sama Ketua Polis Daerah seluruh negeri itu.

Biarpun pihaknya telah mempunyai segala prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi namun peranan penghuni berek kediaman juga mampu digembleng untuk menjadi nilai tambah kepada penambahbaikan tahap keselamatan sedia ada terutama untuk berdepan ancaman luar jangka.

"Balai-balai yang jumlah anggotanya tidak begitu besar, jadi kita mengharapkan berek-berek yang berada di belakang pun ini juga perlu ditentukan.

"Jadi bantuan itu sentiasa ada mungkin yang bertugas malam hanya dua orang, tetapi rakan-rakan yang ada di berek itu yang penting," katanya ketika mengulas kes serangan ke atas sebuah balai polis di Ulu Tiram, Johor yang mengorbankan dua anggota polis.
 
Pada masa sama Muhamad Zaki mahu keperluan fasiliti di balai dilengkapi selain mematuhi SOP serta kesiapsiagaan anggota sentiasa diperkemas dan dititikberatkan dari masa ke masa.
 
Ia termasuk mempertingkat tahap keselamatan, sistem pengeluaran senjata api dengan memastikan setiap rekod berkaitan pengambilan, penggunaan serta penghantaran senjata api.
 
Ketika ini terdapat 57 buah balai di negeri itu dengan melebihi 4,000 keanggotaan.
 
Terdahulu Muhamad Zaki menghadiri Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI