JOHOR BAHRU, 2 September – Johor berhasrat muncul sebagai hab industri digital dan kreatif ASEAN dengan memanfaatkan sepenuhnya potensi ekonomi kreatif yang semakin berkembang pesat.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sektor berkenaan kini menjadi pemacu utama inovasi, penciptaan pekerjaan serta eksport bernilai tinggi yang mampu melonjakkan daya saing negeri.
“Apabila kita bercakap mengenai ekonomi kreatif, ia bukan lagi industri di pinggiran tetapi berada di pusat daya saing negara.
"Lihat sahaja Korea Selatan – industri kandungan kreatif mereka bernilai lebih US$113 bilion, menyediakan lebih 600,000 pekerjaan dan mengeksport lebih US$12 bilion setiap tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan ASEAN Digital Content Summit (ADCS) 2025 di Persada Johor, hari ini.
Onn Hafiz menegaskan Johor mempunyai kedudukan strategik, infrastruktur kukuh serta sumber bakat tempatan yang berupaya menjadikannya kuasa besar kreatif ASEAN.
Katanya, sidang kemuncak itu turut mengukuhkan peranan Johor sebagai pintu gerbang kandungan digital antara Malaysia dan ASEAN, seiring persiapan menyambut Tahun Melawat Johor pada tahun hadapan.