(Peserta demonstrasi memegang sepanduk membantah hak LGBT/FOTO FAIL REUTERS)
JOHOR BAHRU, 23 Ogos- Kerajaan negeri akan memperkenal Dasar Wanita Johor di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) bagi menangani isu lesbian, gay, biseksual dan transeksual ( LGBT) secara menyeluruh daripada terus berakar di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata, dasar berkenaan dirangka bagi membolehkan elemen LGBT dikenal pasti lebih
awal dan ditanggani di peringkat keluarga sebelum ianya merebak dalammasyarakat.
Katanya, dasar itu juga sebagai modul lengkap merangkumi pendidikan keluarga, undang-undang serta penguatkuasaan membabitkan wanita, keluarga dan masyarakat.
(Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid (dua, kiri)
menyampaikan Sijil Penghargaan Penal kepada Khairoliza Atan (dua, kanan) pada Majlis Penutup
Simposium Kaunseling Islam ‘Pelangi Islam’ Peringkat Negeri Johor di Dewan Besar
Pusat Islam Iskandar Johor/BERNAMA)
"Saya percaya pendekatan baharu mesti diambil, mungkin pendekatan yang lebih bersifat mesra orang muda, kadang-kadang yang kita jumpa ini pendidik, pendakwah, ketua masyarakat, mungkin kita terlepas pandang kelompok muda yang mana mereka inilah diuji cabaran sebegini.
"Saya yakin telah ada modul yang ditambah baik dan akan kita laksanakan secara berperingkat di seluruh negeri Johor.
“Dasar Wanita Johor ini akan merangkumi pendidikan, undang-undang, keluarga dan penguatkuasaan bagi memperkasa mereka dengan peranan pendidikan Islam dan keluarga kita (MAINJ dan JAINJ) akan menyumbang dari segi idea dan pelaksanaannya,” katanya selepas merasmikan penutupan Simposium Kaunseling Islam Pelangi Islam Peringkat Negeri Johor di Pusat Islam Iskandar, di sini.
Simposium berkenaan dihadiri 600 peserta terdiri daripada guru kaunseling sekolah agama di seluruh negeri Johor dan ahli Puspanita Johor.