fb fb fb fb fb

Johor perkasa pembangunan pusat data, raih pelaburan mega

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (dua, kiri) bersama Menteri Digital, Gobind Singh Deo (tiga, kiri) melawat salah satu reruai sistem penyejukan pada Persidangan Data Centre Supply Chain Ecosystem hari ini. Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching (tiga, kanan) dan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong (kiri)/BERNAMA

JOHOR BAHRU, 27 Oktober- Johor terus diyakini menjadi pusat pelaburan terbaik di rantau ini.

Kenyataan itu dibuktikan apabila berjaya menarik pelaburan bernilai RM360 juta, bagi menyokong pembangunan pusat data sekali gus merancakkan ekosistem rantaian bekalan industri itu.

Syarikat terkemuka dunia, GDS International melabur sebanyak RM14.33 bilion menerusi dua pusat data di Nusajaya Tech Park dan Kempas Tech Park, Johor Bahru.

Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata lima syarikat besar turut mengembangkan sektor digital di negeri berkenaan, seterusnya membuka 700 peluang pekerjaan kepada rakyat Johor.

"Terdapat lima syarikat besar yang akan melabur di Johor berjumlah RM360 juta dan akan memberikan peluang pekerjaan kepada 700 rakyat Malaysia di Johor.

Ia hasil usaha kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri. Kita bekerjasama dengan erat dan baik untuk pastikan bukan sahaja ekonomi digital dapat ditingkatkan, pada masa sama membawa peluang-peluang pekerjaan yang baik, gaji yang setimpal dengan graduan-graduan kita di Johor," kata Datuk Onn Hafiz kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan Sidang Kemuncak Ekosistem Rantaian Bekalan Pusat Data GDS International, di sini.

Johor turut komited menyediakan tenaga kerja mahir yang mencukupi dan berkualiti menerusi Penubuhan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) yang akan dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, 3 November ini.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM