KUALA LANGAT, 26 November - Jabatan Kerja Raya (JKR) akan mula menggerakkan penggunaan ‘Launching Nose’ bagi pembinaan jambatan sementara di negeri-negeri yang infrastrukturnya mengalami kerosakan akibat banjir, dengan perbelanjaan RM21 juta.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata alat tersebut diperlukan untuk membina jambatan sementara kerana ia mudah dipasang dan telah diberi kepada negeri-negeri sebagai tanda kesiapsiagaan menghadapi bencana.
Sebanyak 107 lokasi bencana direkodkan di seluruh negara setakat pukul 10 pagi tadi, melibatkan tujuh negeri dengan pelbagai insiden seperti banjir kilat, banjir, cerun runtuh dan kerosakan infrastruktur jalan raya.
"Banjir kilat mencatat jumlah tertinggi dengan 49 lokasi, banjir di 35 lokasi, cerun runtuh 12 lokasi, jalan runtuh dan jalan mendap di lima lokasi dan jambatan jambatan rosak atau runtuh direkodkan di satu lokasi," kata beliau selepas merasmikan lintasan pejalan kaki searas berlampu isyarat di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Gadong di sini.
Menurut laporan rasmi Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) JKR Malaysia, sebanyak 50 jalan persekutuan dan 57 jalan negeri turut terjejas.
BiGBen JKR Malaysia kini beroperasi 24 jam untuk memantau situasi bencana.