PUTRAJAYA, 31 Mei- Jabatan Kesihatan Selangor (JKNS) merampas 62 jenis produk kesihatan tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dianggarkan bernilai RM1 juta.
KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan rampasan itu melalui tindakan pemeriksaan yang dijalankan bersama cawangan Penguatkuasaan Farmasi Jabatan Kesihatan Selangor pada 9 Mei lalu.
“Tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan secara dalam talian produk kesihatan yang tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) KKM itu dilaksanakan berikutan aduan orang awam yang diterima.
"Siasatan awal mendapati penjualan produk tidak berdaftar itu dijalankan oleh sebuah syarikat asing yang beroperasi di luar negara," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan modus operandi yang digunakan syarikat asing itu melibatkan syarikat pengendali hab logistik tempatan yang dijadikan sebagai lokasi simpanan dan pengedaran produk tidak berdaftar kepada pengguna di Malaysia.
“Syarikat berkenaan menggunakan platform e-dagang sebagai medium penjualan produk kepada pengguna,” menurut KKM.
Kenyataan itu menyebut penjualan produk tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (1) Akta Jualan Dadah 1952.
Peraturan itu memperuntukkan hukuman denda hingga RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun bagi individu manakala bagi syarikat yang melakukan kesalahan sama boleh dikenakan denda hingga RM50,000.
Justeru KKM menasihatkan orang ramai yang membuat pembelian produk kesihatan secara dalam talian agar memastikan produk tersebut mempunyai pelekat keselamatan hologram dan nombor pendaftaran produk (MAL).
Jelas KKM status pendaftaran produk boleh disemak menerusi laman sesawang http://www.npra.gov.my di ruangan Product Status atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-7883 5400 atau memuat turun aplikasi NPRA Product Status.