fb fb fb fb fb

JKN Kedah mohon maaf, jururawat silap beri tarikh janji temu

(Tangkap layar video tular bertajuk 'Jururawat Kerajaan Menyusahkan Pesakit')

ALOR SETAR, 15 Ogos- Jabatan Kesihatan Negeri Kedah memohon maaf kepada seorang pengadu atas kesulitan yang dialami ekoran kesilapan tarikh janji temu untuk mengambil sampel darah bagi ujian makmal.

Ia susulan klip video tular bertajuk 'Jururawat Kerajaan Menyusahkan Pesakit' yang dimuatnaik di media sosial Tiktok pada 12 Ogos lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr. Othman Warijo dalam kenyataan memaklumkan berkata, pihaknya memandang serius insiden yang didakwa berlaku dan telah memulakan siasatan.

Hasil siasatan awal mendapati, pengadu telah diberikan janji temu yang salah iaitu pada hari Jumaat, 5 Ogos yang merupakan cuti hujung minggu di Kedah.

Bagaimanapun, sampel darah pengadu telah diambil dua hari selepas kejadian iaitu pada hari Ahad, 7 Ogos.

Jabatan Kesihatan Negeri Kedah telah menghubungi pengadu dan memohon maaf atas kesilapan yang berlaku dan pengadu menerima baik permohonan maaf tersebut.

Jabatan Kesihatan Negeri Kedah amat kesal dengan insiden ini dan kesulitan yang telah dihadapi oleh pengadu.

Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden ini agar langkah tambah baik lebih khusus dapat diambil bagi mengelakkan ianya berulang.

Penambahbaikan berterusan dan kepuasan pelanggan sentiasa menjadi keutamaan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah dalam menyampaikan perkhidmatan kepada seluruh anggota masyarakat.


(Kenyataan media Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Othman Warijo)

Media Baharu