fb fb fb fb fb

JKKN, MAHB perkasa usaha pulihara seni warisan rebana ubi

Gimik perasmian MYAirportCARES Lestari Seni Majlis Pemerkasaan dan Pemuliharaan Rebana Ubi di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu./BERNAMA

KOTA BHARU, 27 Oktober - Usaha memartabatkan semula seni warisan rebana ubi perlu dipergiatkan berikutan muzik tradisional itu sudah semakin dilupakan masyarakat.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Rosnan Abdul Rahman, berkata penggiat rebana ubi kini semakin berkurangan, dengan hanya kira-kira 10 hingga 12 orang sahaja yang masih aktif menghasilkan alat muzik itu di Kelantan.

Beliau berkata, meskipun pelbagai bengkel dan program dijalankan secara berterusan, usaha memulihara seni berkenaan memerlukan kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan pembabitan lebih meluas.

Sebagai salah satu usaha memperkasa warisan berkenaan, JKKN dengan kerjasama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) melancarkan inisiatif 'MYAiportCARES Lestari Seni: Pemerkasaan dan Pemuliharaan Rebana Ubi' yang berlangsung di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), malam tadi.

“Melalui inisiatif ini, kita akan menambah baik aspek pembuatan rebana ubi kerana ia memerlukan kemahiran tinggi. Program ini juga melibatkan pelaksanaan program rintis dan bengkel rebana ubi,” katanya kepada pemberita di sini.

Program tersebut turut menyalurkan sumbangan berjumlah RM140,000 kepada Persatuan Kebudayaan Kesenian Awang Selamat bagi menaik taraf bengkel, membeli mesin, membaik pulih rebana ubi serta melaksanakan aktiviti pemerkasaan komuniti seni tempatan.

Katanya, usaha itu bukan sahaja membantu komuniti seni budaya menjana pendapatan melalui aktiviti kesenian, tetapi juga memastikan seni warisan rebana ubi terus diwarisi generasi akan datang.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI