KUALA TERENGGANU, 10 Mei- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu berjaya mematahkan cubaan pengedaran rokok seludup menerusi serbuan di Kampung Pengkalan Gelap Setiu, Sabtu lalu.
Risikan dibuat selama empat hari bagi mengenal pasti tempat pendaratan barangan larangan itu yang disyaki dari negara jiran untuk pasaran Pantai Timur dan Lembah Klang.
Menurut Pengarah JKDM Terengganu, Mohd. Nadzri Ariffin, dalam serbuan berkenaan, pihaknya berjaya merampas dua buah lori dan sebuah bot gentian kaca yang dipercayai didalangi rakyat warga tempatan.
Jelas beliau, ketika tiba di lokasi kejadian, suspek yang menyedari kehadiran anggota penguat kuasa bertindak melarikan diri ke kawasan belukar dan meninggalkan lori serta bot.
Tambahnya, jumlah keseluruhan rampasan rokok pelbagai jenama itu termasuk cukai duti dianggarkan bernilai lebih RM4 juta.
Beliau berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti pemilik lori yang digunakan dalam aktiviti penyeludupan rokok seludup tersebut.
(Pengarah JKDM Terengganu, Mohd. Nadzri Ariffin / FOTO BERNAMA)
"Sebab pantai di situ paya dan laluan air dekat situ banyak, jadi itu memudahkan mereka untuk bertindak dan kita tidak pernah leka dan kawasan ini kita pantau rapi," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Kuala Terengganu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.