fb fb fb fb fb

JBPM siap sedia hadapi musim panas

KUANTAN, 10 Mei- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara sentiasa diarahkan bersiap sedia menghadapi musim panas ketika ini.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yassin berkata, ketika ini semua aset jabatan telah diselenggara dan boleh digunakan jika perlu.

"Setiap jabatan bomba diminta sentiasa membuat rondaan dan bekerjasama dengan agensi-agensi yang berkaitan khususnya jabatan alam sekitar dan memantau laporan-laporan daripada MetMalaysia mengenai keadaan cuaca panas," katanya.

Menurut beliau, semua jabatan bomba di setiap negeri juga diarahkan sentiasa mengawal dan mengenal pasti lokasi titik panas baharu di negeri masing-masing.

Tambahnya, langkah pencegahan juga digalakkan sehingga peringkat pemadaman operasi kebakaran.

Jelas beliau, setakat ini sebanyak 406 lokasi titik panas sering mengalami kebakaran terbuka dan kebakaran tanah gambut telah dikesan di seluruh negara.

(Ketua Pengarah JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yassin / FOTO BERNAMA)

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Jalinan Mesra Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama Warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang.

Di Pahang, daerah Kuantan, Rompin dan Pekan menjadi kawasan titik panas yang dikesan melalui satelit, setakat ini.

Justeru, pemantauan secara berkala telah dibuat dengan kerjasama Jabatan Perhutanan dan Jabatan Alam Sekitar.

Media Baharu