fb fb fb fb fb

JKDM diarah sediakan laporan lengkap penyeludupan dadah ke Australia

(Datuk Seri Anwar menyampaikan ucapan pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai
Murni dan Iftar KDN Madani di SLAK/BERNAMA)

SUNGAI PETANI, 14 April- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) diarah menyediakan laporan lengkap dan terperinci berhubung rampasan 336 kilogram heroin dianggarkan bernilai AUD268.8 juta atau RM789.56 juta dalam sebuah kontena penghantaran dari Malaysia ke Brisbane, pada 13 Mac lepas.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kejadian itu mengaibkan negara.

Beliau mahu laporan dibentangkan kepadanya dalam tempoh dua minggu.

"Bagaimana boleh bolos, lebih besar penyeludupan dadah dari Pelabuhan Klang. Minta kastam beri laporan penuh bagaimanana berlaku ditangkap di Australia. Saya minta Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) beri laporan penuh dan lengkap, pastikan penyeludupan itu boleh dihalang," kata Anwar ketika berucap di Majlis Penerapan Nilai-nilai Murni dan Iftar Kementerian Dalam Negeri (KDN) MADANI di sini.

Menurut beliau, perkara itu bukan soal kecil atau berkaitan jumlah dadah yang diseludup bernilai ratusan juta semata-mata, tetapi yang ditekankan adalah kelemahan dalam sistem keselamatan negara. 

(Datuk Seri Anwar berucap di Majlis Penerapan Nilai-nilai Murni dan Iftar KDN MADANI)

Di majlis itu, Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada pasukan keselamatan dan penguatkuasaan bawah KDN yang bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia melaksanakan peranan penting dalam menjamin keselamatan negara.

"Warga KDN ini menjamin keselatamatan negara bersama angkatan tentera. Benar kita boleh hidup dengan selesa tetapi kita jangan lupa ini berkat keamanan kita capai kerana tonggak polis dan pasukan keselamatan bertanggungjawab," katanya.

Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul dan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Media Baharu