fb fb fb fb fb

Jeti baharu bakal dibina bagi operasi feri penumpang ke Langkawi

KANGAR, 10 September- Kementerian Pengangkutan bercadang membina sebuah jeti baharu untuk operasi feri penumpang ke Langkawi sebagai langkah penyelesaian jangka panjang kepada masalah mendapan yang sering berlaku di Jeti Kuala Kedah dan Jeti Kuala Perlis.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata masalah mendapan di kedua-dua jeti tersebut terlalu kerap sehingga menyebabkan kerajaan membelanjakan kira-kira RM50 juta setiap dua tahun bagi melakukan kerja-kerja pengerukan untuk membolehkan feri penumpang ke pulau peranginan itu beroperasi.

Sehubungan itu, cadangan untuk membina sebuah jeti baharu tanpa menjejaskan pengoperasian kedua dua jeti sedia ada adalah wajar.

"Jadi kementerian sedang memikirkan bagaimana kita nak cari satu lokasi yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua negeri (Kedah dan Perlis) untuk kita menyelesaikan masalah ini secara jangka panjang, kita sedang bincang dan saya akan umumkan butiran mengenainya nanti,” katanya.


(Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong)

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media sempena Mesyuarat tahunan MCA peringkat negeri Perlis di Kangar.

Ujarnya, keputusan berkenaan akan dibuat dalam tempoh terdekat selepas mengambil kira beberapa perkara termasuk kedalaman laut di lokasi berkenaan.

Mengulas mengenai kerja pengerukan di Jeti Kuala Kedah, beliau berkata setakat semalam ia telah mencapai 75 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya pada November ini, manakala kerja pengerukan di Jeti Kuala Perlis berlaku sedikit kelewatan berikutan masalah peralatan dan kekurangan tenaga kerja.

“Ada sedikit kelewatan dari segi kerja-kerja di lapangan (di Jeti Kuala Perlis) dan ia dijangka siap kalau ikut kontrak pun tahun hadapan. Saya telah meminta mereka (kontraktor) untuk tambah alatan. Saya juga sudah mengarahkan supaya JLM untuk kita memantau lebih rapi,” katanya.

Media Baharu