fb fb fb fb fb

Jerebu: Bincang tutup sekolah jika IPU 'sangat tidak sihat' di Melaka

 (Pemandangan bangunan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah kabur ekoran jerebu yang sedang
melanda negara ketika tinjauan pada 15 September lalu/BERNAMA)

AYER KEROH, 8 Oktober- Perbincangan Jabatan Kesihatan Melaka bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mengenai cadangan menutup sekolah hanya akan diadakan jika Indeks Pencemaran Udara (IPU) melepasi bacaan 200 iaitu sangat tidak sihat.

Namun begitu, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata, pihaknya sentiasa memantau perkembangan IPU dari semasa ke semasa sebelum membuat sebarang keputusan lanjut.

"Apabila ada kawasan mencecah peringkat merah (atau) serius, barulah kita akan adakan perbincangan. Tetapi buat masa sekarang, ia tidak nampak seperti akan pergi ke peringat itu (merah), insya-Allah.

"Jadi nasihat saya kepada semua rakyat Melaka tolong pantau dalam laman web (Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia-APIMS) terutama kepada guru-guru (termasuk) guru tadika (serta) taksa, tolong pantau misalnya (IPU) kuning iaitu lebih daripada 100 indeksnya, maka tolong hentikan aktiviti luar," katanya kepada media selepas program melepaskan Nyamuk Aedes Berwolbachia di Pangsapuri Taman Tasik Utama, di sini.
 
Laman web APIMS Jabatan Alam Sekitar (JAS) merekodkan bacaan IPU tidak sihat di kesemua tiga stesen di Melaka iaitu Bandaraya Melaka, Bukit Rambai dan Alor Gajah iaitu melebihi 103 bermula pukul 12 tengah malam tadi.

Paling tinggi adalah Bukit Rambai yang mencatatkan IPU meningkat sehingga mencapai bacaan 163, setakat pukul 1.00 tengah hari tadi.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 di kategori sebagai (baik) dengan warna biru, 51 hingga 100 (sederhana-hijau), 101 hingga 200 (tidak sihat-kuning), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat-jingga) 300 ke atas (bahaya-merah).

(Rusdi Abd Rahman)

Media Baharu