KUALA LUMPUR, 18 Oktober - Sebanyak 213 menara komunikasi baharu siap dibina dan beroperasi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), setakat suku kedua 2023 di Sarawak, kata Teo Nie Ching.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) berkata, angka itu merupakan daripada 864 menara komunikasi yang dirancang di bawah kementerian KKD.
Katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut mengguna pakai teknologi satelit bagi memperluaskan liputan internet terutamanya di kawasan pedalaman.
"Selain itu, sejumlah 3,689 daripada 3,735 pemancar telah siap dinaik taraf serta 106,331 daripada 207,135 premis telah tersedia dengan capaian gentian optik.
"Setakat suku kedua tahun 2023, peratusan liputan 4G di kawasan berpenduduk di Sarawak telah mencapai 87.52 peratus, " katanya sambil menambah baki daripada setiap inisiatif itu dijangka siap secara berperingkat menjelang penghujung tahun 2025.
Nie Ching berkata sebanyak 523 lokasi di Sarawak telah menikmati perkhidmatan internet melalui satelit yang dikenali sebagai Broadband Wireless Access (BWA).
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi (Gabungan Parti Sarawak – Igan) dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat mengenai sejauh manakah pelaksanaan projek Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) telah dilaksanakan di Sarawak.
Sementara itu, bagi kawasan Parlimen Igan pula, sebanyak tujuh daripada 14 menara baharu telah siap dibina dan beroperasi.
Tambahnya, kesemua 50 stesen pemancar untuk dinaik taraf telah siap sepenuhnya.
Katanya di bawah sasaran JENDELA, SKMM sedang merangka solusi yang bersesuaian menggunakan pelbagai teknologi bagi penyediaan perkhidmatan internet.
Khususnya bagi baki di kawasan berpenduduk yang masih belum mendapat liputan.
"Terdapat pelbagai kekangan yang dihadapi oleh SKMM serta penyedia perkhidmatan komunikasi di dalam melaksanakan inisiatif peluasan liputan internet di kawasan pedalaman.
"Antaranya adalah faktor taburan penduduk yang berselerak dengan kepadatan penduduk yang rendah, akses melalui sungai dan jalan yang tidak boleh dilalui jentera berat ," katanya.
Tambah beliau, ini termasuk kawasan-kawasan di mana tiada bekalan elektrik tetap tersedia bagi kegunaan menara komunikasi.