fb fb fb fb fb

Jenazah Tun Abdul Taib akan dikebumikan di Demak Jaya

Jenazah Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada pukul 4.25 petang/Foto BERNAMA

KUCHING, 21 Februari- Jenazah bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud yang meninggal dunia awal pagi tadi, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada pukul 4.25 petang tadi.

Jenazah Abdul Taib diiringi isterinya Toh Puan Ragad Kurdi Taib diterbangkan dari Pangkalan Udara Subang menaiki pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta ketiga-tiga Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, merupakan antara yang hadir untuk menyambut jenazah Allahyarham.

Selain itu, kira-kira 300 orang termasuk menteri kabinet negeri juga telah memenuhi Balai Ketibaan Tetamu Kehormat lapangan terbang itu sejak tengah hari tadi, untuk menyambut ketibaan jenazah bekas Ketua Menteri Sarawak paling lama itu.

Ketibaan jenazah disambut dengan kawalan kehormat utama Batalion ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja disusuli dengan bacaan doa dan diakhiri dengan lagu Ibu Pertiwiku, sebelum diusung menggunakan kenderaan khas untuk dibawa ke kediaman Allahyarham di Demak Jaya, Jalan Bako, di sini.

Jenazah akan dibawa ke Atrium Dewan Undangan Negeri (DUN) esok. Ahli-ahli kabinet boleh memberi penghoramatan terakhir pada pukul 11.00 pagi hingga 11.30 pagi di saluran A, manakala ahli-ahli yang berhormat, dif-dif kenamaan dan ketua-ketua jabatan di saluran sama pada pukul 10.00 hingga 11.00 pagi.

Sementara itu orang awam boleh memberi penghormatan terakhir bermula pukul 8.00 hingga 11.30 pagi saluran B.

Seterusnya, jenazah akan dibawa ke Masjid Demak untuk disolatkan pukul 12.00 tengah hari sebelum dikebumikan selepas Zohor dengan istiadat pengkebumian negeri, di perkuburan keluarga di Demak Jaya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI