fb fb fb fb fb

Jenazah tiga pelajar UiTM Dungun maut dirempuh SUV selamat dikebumikan

Jenazah Muhammad Akmal Md Tukirin, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Baru, Muar / FOTO RTM

SUNGAI BULOH, 10 Oktober- Kesemua jenazah pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun yang maut dalam kemalangan semalam, selamat dikebumikan petang tadi.

Di Sungai Buloh, jenazah Ku Adib Aizad Ku Azmi disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Aliyah (RASU) Saujana Utama kira-kira pukul 5.55 petang.

Kira-kira 100 orang hadir di majlis pengebumian termasuk ibu, Hafizah Iszahanid, bapa arwah Ku Azmi Saad, keluarga terdekat dan rakan kenalan.

Sebelum itu jenazah selesai disembahyangkan di Masjid An-Nur Bandar Saujana Utama sebelum sekali lagi disembahyangkan di kediaman ibu bapanya di Sri Pistana Sungai Buloh.

Ketika kejadian semalam, ibu bapa Allahyarham dalam penerbangan ke Makkah untuk mengerjakan umrah.

Pesawat rombongan umrah itu berlepas dari KLIA jam 5.35 petang semalam dan sampai Jeddah jam 9.15 malam tadi (waktu tempatan).

Sebaik mengetahui kejadian yang menimpa anaknya, mereka berpatah balik dari Makkah dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang tadi.

 

1010 KEBUMI UITM 2Jenazah Khairil Anwar, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Kelang, Selangor / FOTO RTM

Sementara itu hujan mengiringi pengebumian jenazah seorang lagi mangsa, Khairil Anwar Jamaludin,yang turut meninggal dunia dalam kemalangan dirempuh sebuah SUV di hadapan kampus universiti itu.

Jenazah Khairil Anwar, 20, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Kelang, Selangor sekitar pukul 5 petang tadi.

Dianggarkan lebih 100 orang terdiri daripada ahli keluarga, saudara mara dan rakan mangsa turut berada di tanah perkuburan terbabit.

Terdahulu, jenazah Khairil Anwar serta dua lagi mangsa diuruskan oleh pihak UiTM Dungun, pagi tadi sebelum dibawa ke Masjid Nurul Hidayah, Kg. Pandan, bagi disolatkan oleh imam Mohd Shahir.

Dalam pada itu, bapa Allahyarham, Jamaludin Hussin, menyifatkan anak bongsu dari lima beradik itu seorang yang baik dan lemah lembut.

Kali terakhir dia dan isteri, Norma Mohammed Nor,52, bertemu dengan anaknya itu ialah pada 6 Oktober lalu ketika menghantarnya ke Dungun untuk memulakan semester baharu.

Jelasnya, tiada sebarang petanda yang menunjukkan pelajar jurusan perakauan itu akan meninggalkan beliau sekeluarga untuk selamanya cuma Allahyarham suka bergambar.

Sementara itu di Muar, Johor jenazah Muhammad Akmal Md Tukirin, 25 tahun, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Baru, pukul 5.20 petang tadi selepas selesai solat jenazah.

Terdahulu, jenazah dibawa menaiki van dari Pusat Hidayah UiTM Dungun, kira-kira 11 pagi dan tiba di kediaman keluarganya di Kampung Parit Baru, Muar pada pukul 4.17 petang.

Jenazah Muhammad Akmal diiringi kedua ibu bapanya, Md Tukirin Saringat, 60 tahun dan Rafeah Buang, 50 tahun.

Walaupun sedih, Md Tukirin dan keluarga tetap redha menerima takdir yang menimpa anak kedua daripada empat beradik itu.

Dalam pada itu, ahli keluarga Allahyarham menyerahkan kepada UiTM bagi mengambil tindakan perundangan terhadap pemandu SUV berkenaan, selain berterima kasih kepada pihak pengurusan universiti kerana menguruskan jenazah.

 

1010 KEBUMI UITM 3Jenazah Ku Adib Aizad Ku Azmi disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Aliyah (RASU) Saujana Utama / FOTO RTM

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE