Jenazah tiga beranak maut kemalangan dikebumikan satu liang lahad

Foto BERNAMA

SETIU, 24 Mac – Jenazah tiga beranak yang maut dalam kemalangan di Kilometer 59 Jalan Jerangau-Jabor, dekat Dungun semalam, selamat dikebumikan petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jenazah tiga beranak, Nurul Hafizah dan dua anak, dikebumikan satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Tong sekitar 6.15 petang.
  • Jenazah disolatkan di Masjid Ar-Ridhwan Sungai Tong selepas solat Asar, lebih 200 ahli keluarga dan kenalan hadir memberi penghormatan terakhir.
  • Kenderaan SUV dipercayai hilang kawalan lalu terbabas, melanggar paip air dan tiang elektrik; dua anak cedera kini dirawat di hospital.

Nurul Hafizah Shaary, 39, bersama dua anaknya, Muhammad Redzuan Arash Mohamad Redzuan, 13, serta Nur Radya Athalia, 4, dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Tong, Setiu kira-kira 6.15 petang.

Sebelum itu, jenazah ketiga-tiga mangsa disolatkan di Masjid Ar-Ridhwan Sungai Tong selepas solat Asar.

Lebih 200 orang terdiri daripada ahli keluarga dan kenalan hadir memberikan penghormatan terakhir.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang semalam, kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki mangsa bersama empat anaknya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar paip air serta tiang elektrik.

Ketika kejadian, mereka dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis perkahwinan ahli keluarga.

Kemalangan itu turut menyebabkan dua lagi anak mangsa, Nur Raesha Amanda, 14, dan Nur Rakhlis Aral Yn, 9, cedera dan kini dirawat di hospital.