fb fb fb fb fb

Jenazah tiga beranak maut kemalangan dikebumi dalam satu liang lahad

Jenazah Nor Faizah Ridzuan, 34 tahun dan anaknya Muhammad Hariz Adrian Mohd Azman,10 tahun dan anak angkatnya Muhammad Hafiy Azman Abdullah, tiga tahun selamat dikebumikan pada pukul 7.30 petang tadi dalam satu liang lahad.

BACHOK, 15 Disember - Jenazah tiga beranak yang maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki bertembung treler di Jalan Lipis Benta, Pahang, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pintu Gerbang, di sini, lewat petang tadi.

Jenazah Nor Faizah Ridzuan, 34 tahun dan anaknya Muhammad Hariz Adrian Mohd Azman, 10 tahun dan anak angkatnya Muhammad Hafiy Azman Abdullah, tiga tahun selamat dikebumikan pada pukul 7.30 petang tadi dalam satu liang lahad.

Terdahulu, jenazah tiga beranak itu dibawa ke Masjid Teluk Kemunting untuk disolatkan.

Lebih 100 orang hadir mengiringi jenazah termasuk suami, keluarga dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun.

Dalam kejadian pukul 2.25 pagi tadi, kereta jenis Perodua Alza yang dipandu Nor Faizah bertembung dengan treler ketika mangsa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kelantan.

Kereta mangsa dikatakan hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum dirempuh treler.

Kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

 

Berita Berkaitan: Kereta bertembung lori, ibu dan dua kanak-kanak maut

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN