fb fb fb fb fb

Kereta bertembung lori, ibu dan dua kanak-kanak maut

FOTO Polis

KUALA LIPIS, 15 Disember - Dua kanak-kanak dan ibu maut dalam kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta dengan lori di Kilometer 17, Jalan Lipis-Benta di Lipis, awal pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 2.25 pagi tadi mengorbankan pemandu kereta Nor Faizah Ridzuan, 34 tahun yang beralamat di Berek Polis Kok Lanas Ketereh, Kelantan dan dua kanak-kanak Muhammad Hariz Adrian Mohd. Azman, 10 tahun dan Muhammad Hafiy Azman Abdullah, 3 tahun.

Ketiga-tiga mangsa disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan dada manakala pemandu lori, Wan Osman Wan Hussin tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Lipis Superintenden Azli Mohd Noor berkata, hasil siasatan awal dan keterangan saksi bebas di tempat kejadian mendapati kejadian dipercayai berlaku ketika kereta Perodua Alza dipandu Nor Faizah dari Kuala Lumpur menghala ke Kelantan hilang kawalan di laluan selekoh dan masuk ke jalan bertentangan sebelum dirempuh lori.

"Akibat pertembungan itu kereta tersebut diseret lori berkenaan lalu merempuh besi penghadang jalan.

"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca dari pemandu kereta Perodua Alza yang gagal mengawal kenderaan dan terbabas ke laluan bertentangan," kata Azli, di sini.

Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat selepas ujian saringan COVID-19 diperoleh. 

Kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Azli berkata, siasatan mendapati keadaan jalan selekoh dua lorong satu hala ada garisan tengah berkembar sebagai pembahagi jalan, gelap tanpa lampu jalan manakala keadaan cuaca baik dan permukaan jalan kering.

TETITIA YUSOFF