fb fb fb fb fb

Pembinaan Taman Tema Upin Ipin di peringkat rundingan akhir- Ab Rauf

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf merasmikan Karnival Upin Ipin 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

AYER KEROH, 15 Disember- Pembinaan Taman Tema Upin Ipin yang dirancang dibangunkan di Alor Gajah di sini akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata kini di peringkat rundingan akhir antara syarikat perfileman animasi popular Les' Copaque Production Sdn Bhd dan MCorp.

Jelasnya, rundingan yang melibatkan terma dan syarat berkaitan penggunaan tanah seluas 55.85 hektar yang menjadi lokasi pembinaan produk pelancongan baharu di negeri itu dijangka dimuktamadkan dalam tempoh dua minggu lagi.

"Setelah terma dan syarat bagi pembinaan Taman Tema Upin Ipin itu dipersetujui, kita jangka produk pelancongan baharu itu dapat direalisasikan dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Kerajaan negeri Melaka akan memberikan kerjasama dalam membantu mendapatkan kelulusan untuk memudahcara bagi taman tema ini dapat dijalankan pembinaannya dengan kadar segera," katanya.

Tambah Ab Rauf, Taman Tema Upin Ipin itu akan menjadi satu daripada taman tema tempatan bertaraf antarabangsa yang dilihat mampu menarik kedatangan pelancong dalam dan luar negara pada masa hadapan.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Upin Ipin 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Karnival Upin dan Ipin bertemakan Animasi Kesayangan Keluarga yang berlangsung tiga hari bermula hari ini dan dijangka mampu menarik 300,000 pengunjung dari dalam dan luar Melaka.

Ia juga sebagai medan ujian beberapa tarikan yang hendak dibangunkan dalam Taman Tema Upin dan Ipin tidak lama lagi dan platform untuk mempamerkan produk terbaharu daripada Les’ Copaque Production.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI