fb fb fb fb fb

Jenazah cikgu Hasnatul Adilah, selamat dikebumi malam ini

Jenazah Allahyarhamah Hasnatul Adilah Hassan, 48, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Tangki Air dekat Ramuan China Besar malam ini/ BERNAMA

ALOR GAJAH, 9 Jun- Jenazah Guru Penolong Kanan 1, Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Hasnatul Adilah Hasan yang maut kemalangan di Jalan Kuantan-Segamat, selamat dikebumikan kira-kira jam 8.50 malam.

Jenazah Hasnatul Adilah, 48 tahun, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tangki Air, Ramuan China Besar, Melaka.

Terdahulu, solat jenazah dipimpin anak keempat arwah iaitu Muzaffar Shah Saifullizan, 19 tahun.

Solat jenazah disertai kira-kira 300 orang termasuk Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Anak bongsu arwah yang turut bersama dalam perjalanan Muhammad Farouq Shaifullizan, 12 tahun, turut bersama mengiringi jenazah ibunya.

Terdahulu, talkin dibacakan Imam II Masjid Al Muhtadi, Ramuan China Besar, Ustaz Zamarol Akmar Muhammad.

Sementara itu, seorang lagi mangsa iaitu Dahlia Ahmad 52, yang terlibat dalam nahas tersebut meninggal dunia pada pukul 9.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Nor Azman Yusof ketika dihubungi berkata, mangsa yang juga seorang guru disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

Turut terkorban dalam insiden berkenaan, kelindan bas, Hadi Asyraf Mad Idris, 29, dan Pembantu Operasi, Hamzah Ahmad, 60.

Kemalangan berkenaan turut menyebabkan 10 lagi individu sedang menerima rawatan di HTAA dan Hospital Muadzam Shah.

Rombongan guru terbabit dalam perjalanan dari Masjid Tanah menuju ke Terengganu bersempena Program Lawatan Penanda Aras di SK Kompleks Seberang Takir.

Artikel Berkaitan:

Kemalangan bas: Pelaksanaan rombongan program ikut SOP ditetapkan

ROSLINA BINTI DIN