MAKKAH, 7 Julai- Kesemua 14,306 jemaah haji Malaysia mula bergerak ke Arafah hari ini.
17 buah bas disediakan dengan pergerakan dilakukan secara berperingkat bermula awal pagi dan dijangka selesai selewatnya tengah malam.
Buat pertama kalinya juga tilam dan bantal disediakan buat setiap jemaah haji muasassah di Arafah.
Selain itu bekalan elektrik disalur terus dari pencawang utama bukan lagi bantuan mesin generator.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata menerusi dua penambahbaikan penting tersebut, jemaah akan dapat lebih keselesaan berwukuf selain mengelakkan gangguan elektrik yang menjejaskan ibadah mereka.
"Diharapkan bekalan elektrik itu lebih baik dan lebih stabil kerana pada tahun ini kita akan menggunakan khemah-khemah yang menggunakan pendingin hawa. Jadi dengan itu, memerlukan bekalan elektrik yang banyak," kata Datuk Seri Syed Saleh kepada pemberita RTM.
(Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman)
Memandangkan operasi masya’ir lebih mencabar, Datuk Seri Syed Saleh menuntut kekuatan mental dan fizikal jemaah selain kesabaran terutama ketika perlu berjalan pergi dan balik sejauh 10 kilometer untuk melontar di Mina.
Selain itu mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan demi kelancaran ibadah haji mereka.
"Para petugas kita juga telah bersedia, sepanjang 10 kilometer ini, ada pos menunggu petugas-petugas Tabung Haji untuk memberi panduan arah dan juga untuk membantu mereka yang memerlukan sebarang bantuan. Dengan ini, Insya-Allah kita mengharapkan perjalanan sepanjang operasi masya'ir ini dapat berjalan dengan baik," tambah beliau.
109 petugas kebajikan dan 191 petugas kesihatan telah pun bersiap sedia di masya’ir untuk menyambut ketibaan Jemaah haji Malaysia.