fb fb fb fb fb

Jemaah haji Malaysia meninggal dunia ketika tawaf

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman

MEKAH, 31 Mei- Seorang jemaah haji lelaki berusia 58 tahun dari Alor Setar meninggal dunia akibat serangan jantung ketika sedang melakukan tawaf pada malam Rabu lalu.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata semasa kejadian, Allahyarham Mohd Zahir Ismail dari Maktab 78 dilaporkan dalam keadaan berihram dan sedang menunaikan tawaf umrah pertama bersama-sama isteri dan jemaah dari maktab sama sebelum rebah di mataf (kawasan tawaf di sekitar Kaabah).

Beliau berkata Allahyarham kemudian dikejarkan ke kinik yang terletak di Masjidil Haram sebelum dibawa ke Hospital Arab Saudi untuk mendapatkan rawatan lanjut, namun disahkan telah meninggal dunia.

"Jenazah kemudian disolatkan selepas waktu Zohor di Masjidil Haram semalam, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Syaraiee, Mekah pada petang hari sama.

"Petugas kebajikan TH, kaunselor serta pembimbing ibadat dan pakar rujuk juga telah menziarahi isteri Allahyarham bagi memberi bantuan sewajarnya," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) di sini hari ini.

Pada 24 Mei lepas, seorang jemaah haji lelaki berusia 72, dari Kubang Pasu, Kedah meninggal dunia di sebuah hospital di Mekah akibat pembuluh darah pecah.

Dalam perkembangan berasingan, Syed Saleh memaklumkan setakat semalam, seramai 62 jemaah haji Malaysia sedang menerima rawatan susulan pelbagai masalah kesihatan.

Ujarnya, daripada jumlah itu, sebanyak 10 jemaah sedang dirawat di Hospital Arab Saudi manakala selebihnya di Pusat Rawatan Tabung Haji, Mekah. 

Kesemua 21,517 jemaah haji Malaysia telah berada di Mekah menerusi 70 penerbangan yang berlepas dari tanah air sejak 9 Mei lalu. 

ZEHRA BINTI ZAMBRI