fb fb fb fb fb

Jemaah haji dijangkiti COVID-19 dijadualkan semula penerbangan

MAKKAH, 22 Jun - Jemaah haji yang tidak melepasi saringan ujian PCR atau dijangkiti COVID-19 sebelum berlepas ke tanah suci akan dijadualkan semula penerbangan selepas pulih atau disahkan negatif dari wabak tersebut.

Pada masa sama jemaah haji yang masih menunggu tarikh penerbangan dinasihatkan untuk elak dijangkiti supaya tidak menjejaskan penerbangan mereka terutama di saat-saat akhir.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata sehingga kini 120 jemaah disahkan positif COVID-19 ketika di Malaysia dengan 78 daripadanya mendapat penerbangan semula dan tiba di tanah suci.


(Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman)

"Selebihnya telah pun diberi KT baru untuk penerbangan seterusnya, cuma ada lagi dalam lingkungan 19 orang masih belum negatif lagi yang kita menunggu dan jika mereka telah pun negatif kita akan juga menguruskan penerbangan mereka selagi mana ada kekosongan di penerbangan seterusnya," katanya di sini.

Beliau turut menasihati bakal haji yang masih menanti penerbangan agar lebih berhati-hati dan elak dijangkiti COVID-19 dengan memakai pelitup muka dan jaga SOP selain elak berada di kawasan tumpuan ramai mahupun majlis-majlis kenduri.

Ini kerana jumlah penerbangan muassasah yang tinggal semakin berkurang dan tempoh hari wukuf sudah semakin hampir.

"Dan juga pihak kerajaan arab saudi juga ada ketetapan dimana penerbangan terakhir membawa jemaah haji daripada luar masuk ke arab saudi ialah pada 4 haribulan zulhijjah, jadi kalau mereka tidak negatif sebelum itu dan tak de penerbangan, kalau pun ada penerbangan tapi dah lepas 4 haribulan zulhijjah maka mereka tidak dibenarkan masuk ke arab saudi," katanya.

Kerajaan Arab Saudi telah menetapkan penerbangan terakhir musim haji pada 4 Zulhijjah dan berharap semua bakal jemaah yang menerima tawaran akan memperoleh keputusan negatif COVID-19, sebelum tarikh tersebut.

Sehingga kini jemaah Malaysia berada dalam keadaan sihat dan tiada kes kritikal yang memerlukan rawatan lanjut.

Media Baharu